Bintang Milwaukee Bucks, Khris Middleton, tidak dapat menyertai rakan-rakannya menewaskan Indiana Pacers hari ini tetapi pasukan juara bertahan NBA itu berharap kecederaan lutut pemain berkenaan dapat pulih dalam masa yang singkat selepas keputusan ujian imbasan MRI menunjukkan perkembangan positif.

Middleton dilihat memanaskan badan sewaktu pasukannya memperoleh kemenangan 114-99 ke atas Pacers tetapi tidak diturunkan mewakili pasukan itu, yang kehilangan tujuh pemain termasuk Giannis Antetokounmpo -- yang menyertai protokol COVID-19 semalam.

Penyerang licik Bucks, Middleton, terseliuh lutut kirinya ketika pasukannya tewas 103-117 kepada Bostons Celtic kelmarin sehingga tidak dapat meneruskan permainan.

Ketua jurulatih Milwaukee, Mike Budenholzer, mengesahkan bahawa Middleton telah menjalani ujian MRI dan menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.

"Saya fikir kami boleh katakan segala-galanya amat bernasib baik," kata Budenholzer kepada wartawan.

"Kecederaannya kelihatan amat minimum dan singkat. Kita akan lihat bagaimana perasaannya esok dan menjelang perlawanan Jumaat (Sabtu) ini, saya fikir kami akan mengharapkannya."

Antetokounmpo menyertai Wes Matthews dan Donte DiVincenzo untuk tidak dapat diturunkan berikutan protokol liga berkenaan.

Untuk bebas daripada protokol itu, seseorang pemain perlu direhatkan sekurang-kurangnya 10 hari dan mendapat dua keputusan negatif ujian PCR sekurang-kurangnya berselang 24 jam.

"Kami akan menuruti garis panduan yang ditetapkan dalam liga ini.

"Harap-harap dia sihat dan menjaga dirinya," tambahnya.