Nazmi Nasaruddin dipilih calon pengadil Piala Dunia 2026
Muzaffar Musa
February 14, 2024 12:41 MYT
February 14, 2024 12:41 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa pengadil kebangsaan, Nazmi Nassaruddin, dipilih menyertai kursus FIFA World Cup Candidate 2026, sekali gus menjadi antara calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026, yang akan mengambil tempat di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Nazmi, yang mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak tahun 2010, merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL), yang menggunakan video bantuan pengadil (VAR), iaitu ketika perlawanan Buriram United menentang Kelab China, Zhejiang FC, di Thailand pada 20 September lalu.
Sepanjang 2023, Nazmi bersama dua pembantunya, iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid, telah mengadili enam perlawanan ACL.
Selain itu, Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.
"Selaras dengan penetapan syarat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR.
"Hubungan akrab di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal, telah membuka ruang buat Nazmi untuk dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023, Nazmi telah diiktiraf oleh FIFA sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia," kata FAM dalam kenyataan itu.