Pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe, berkata dia bukanlah penentu mutlak kepada masa depan Erik ten Hag berikutan permulaan buruk The Red Devils pada musim ini.

United hanya meraih tujuh mata daripada enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila hanya menewaskan Fulham dan Southampton sambil mengalami kekalahan berturut-turut 3-0 di tempat sendiri kepada Liverpool dan Tottenham.

Ia adalah pulangan terburuk mereka melalui enam perlawanan dalam mana-mana musim setelah membuat permulaan yang sama di bawah David Moyes pada 2013-14 dan Ole Gunnar Solskjaer pada 2020-21.

Dalam Liga Europa pula, United terikat 1-1 ketika menentang Feyenoord di tempat sendiri sebelum mensia-siakan pendahuluan 2-0 ketika seri 3-3 di Porto, Khamis lalu.

Keputusan itu secara tidak langsung mengundang kepada kritikan hebat terhadap Ten Hag, namun Ratcliffe berkata hierarki bola sepak baru United yang akan bertindak mengenai masa depan pengurus Belanda tersebut.

Ditanya sama ada dia akan menaruh kepercayaan kepada Ten Hag yang menandatangani kontrak baru dalam pramusim, Ratcliffe memberitahu BBC Sport: "Saya tidak mahu menjawab soalan itu.


"Saya suka Erik. Saya rasa dia jurulatih yang sangat baik tetapi di penghujung hari ia bukan terletak di tangan saya.

“Pasukan pengurusan yang mengendalikan Manchester United yang perlu memutuskan cara terbaik untuk kami mengendalikan pasukan dalam pelbagai aspek.

"Tetapi Ketua Pengawai Eksekutif (CEO), Omar Berrada, Pengarah Sukan, Dan Ashworth hanya tiba Julai lalu.

"Mereka hanya berada di sana hampir beberapa minggu. Jadi mereka perlu mengambil kira segala aspek dan membuat beberapa keputusan yang wajar.

"Objektif kami sangat jelas. Kami mahu membawa Manchester United kembali ke tempat yang sepatutnya dan jelas sekali ia belum berhasil. Itu sangat jelas."