Napoli sasar kembali ke peringkat Eropah tapi Scudetto juga realistik, kata Conte selepas atasi Milan

Muzaffar Musa
October 30, 2024 11:28 MYT
Pengurus Napoli, Antonio Conte, menegaskan usaha untuk kembali ke peringkat Eropah akan tetap menjadi sasaran utama Napoli tetapi sukar untuk mereka mengabaikan peluang menjulang Scudetto musim ini, terutama selepas melebarkan pendahuluan di tangga teratas Serie A kepada tujuh mata dengan menewaskan AC Milan awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Conte itu menewaskan Milan 2-0 di laman lawan berkenaan dan ia merupakan kemenangan kelapan daripada sembilan perlawanan tanpa kalah mereka, sekali gus membuka jurang lebih luas meninggalkan pasukan di tangga kedua, Inter Milan, yang akan ke gelanggang Empoli awal pagi esok.
Mereka kini sudah megumpulkan 25 mata dan hampir separuh daripada 53 mata keseluruhan musim lalu, di mana mereka gagal mempertahanlkan gelaran dan menamatkan liga di tempat ke-10.
Bagaimanapun, dengan permulaan berbeza musim ini, Conte perlu menyeimbangkan keperluan dan jangkaan yang diletakkan kepada kelab itu.
"Scudetto, tiada siapa menafikannya. Kami lihat ia realistik dengan apa yang telah kami lakukan tahun ini," katanya kepada DAZN.
"Selepas 10 perlawanan, ada sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan.
"Tiada orang gila yang akan menjangkakannya tetapi kami kekal berpijak di bumi nyata.
"Kami tahu apa sasaran kami, iaitu untuk kembali ke peringkat Eropah tetapi ada lima atau enam pasukan lain yang mahukan perkara sama.
"Kemenangan di Naples merupakan sesuatu yang luar biasa. Kami sudah berusaha selama tiga tahun. Kami sedang membina sesuatu dan ia memerlukan masa," katanya.
#bola sepak #Antonio Conte #Napoli #Serie A #AC Milan
;