Jurgen Klopp berpendapat Napoli mampu mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) andai mereka dapat mengekalkan tahap prestasi semasa.

Pengurus Liverpool itu sudah menempuhi badai keampuhan skuad kendalian Luciano Spalletti berkenaan musim ini apabila tewas 1-4 di Stadio Diego Armando Maradona ketika membuka kempen UCL 2022/2023.

Napoli menduduki tangga teratas Kumpulan A menerusi lima kemenangan daripada lima perlawanan selain turut mendahului Serie A dengan kelebihan lima mata selepas menewaskan Sassuolo 4-0, kelmarin.

Ketika disoal dalam sidang akhbar menjelang perlawanan timbal balik di Anfield, awal pagi esok, mengenai potensi Napoli ke final UCL, Klopp berkata: "Saya fikir jika mereka boleh menampilkan persembahan seperti ketika ini, mereka mempunyai peluang yang baik untuk ke final.

"Saya rasa Napoli merupakan sebuah pasukan dalam prestasi terbaik di Eropah, mereka bermain dengan sangat baik.


"Spalletti adalah jurulatih yang sangat berpengalaman, pernah bekerja di merata tempat.

"Nampaknya segala pengalamannya termasuk kehadiran beberapa pemain yang sangat bagus selain keputusan baik yang dibuat, dia telah menggabungkan segala elemen ini dengan cemerlang."