Nagelsmann: Kami lebih berpeluang
Penulis Jemputan
August 16, 2017 08:46 MYT
August 16, 2017 08:46 MYT
Pengurus Hoffenheim, Julian Nagelsmann, mempertahankan aksi anak buahnya walaupun tewas 2-1 di tangan Liverpool dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di tempat sendiri.
Nagelsmann percaya pasukannya hanya tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri selepas mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.
Bagaimanapun, pengendali berusia 30 tahun itu bingkas membalas kenyataan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang menyifatkan pasukannya membiarkan tuan rumah memegang bola lebih lama.
“Tidak, saya tidak bersetuju. Kami memegang bola dalam banyak situasi yang penting. Klopp harus mengatakannya untuk mempertahankan pemain sendiri dan sudah tentu tidak akan memuji aksi pemain lawan,” kata Nagelsmann.
“Contohnya ketika Sandro Wagner melakukan hantaran dalam gerakan segi empat, begitu juga dengan Serge Gnabry. Jadi, saya berasa bahawa kami mengharungi satu perlawanan yang baik, terutama pada separuh masa pertama.
“Kami memiliki lebih banyak peluang,” tambahnya.
Mengenai aksi kedua di Anfield, Nagelsmann tidak menganggap ia sebagai satu masalah besar.
“Bagi saya, tiada bezanya beraksi di laman sendiri atau di tempat lawan.
“Apa yang pasti, kami akan menampilkan komitmen sama seperti aksi pertama. Kami beraksi baik di sini dan saya memberikan jaminan bahawa aksi yang sama akan disaksikan di Anfield,” ujarnya.