Naby Keita pilih sertai Werder Bremen

Shaiful Shamsudin
June 10, 2023 08:16 MYT
Bekas pemain tengah Liverpool, Naby Keita, kembali ke Jerman dengan menyertai Werder Bremen sebaik kontraknya di Anfield berakhir.
Perpindahan £52 juta (RM301.4j) pemain antarabangsa Guinea itu dari RB Leipzig ke Merseyside pada 2018 hadir dengan jangkaan yang tinggi.
Bagaimanapun, dia dilanda kekecewaan apabila hanya diberikan 129 kesempatan dalam tempoh lima tahun selepas bergelut dengan corak permainan fizikal Liga Perdana Inggeris (EPL) selain beberapa siri kecederaan.
Pemain berusia 28 tahun itu hanya beraksi 13 kali musim lalu dan diketepikan daripada skuad Liga Juara-Juara (UCL) akibat kecederaan dan hanya memulakan tiga perlawanan liga.
Bremen berharap kepulangan pemain tengah itu ke Bundesliga akan mengubah nasib mereka memandangkan pernah menyumbangkan 14 gol dan mencipta 14 bantuan jaringan sepanjang 58 perlawanan untuk Leipzig sebelum berpindah ke Liverpool.
“Beberapa kelab jelas akan berminat apabila pemain seperti Naby Keita boleh didapati secara percuma,” kata ketua rekrut Bremen, Clemens Fritz.
“Oleh itu, kami sangat gembira kerana Naby telah memutuskan untuk menyertai Werder di sebalik terdapat beberapa tawaran lain.
"Kualitinya akan memantapkan pasukan kami secara besar-besaran.
"Kami kini mahu mengembalikannya ke tahap terbaiknya."
#Werder Bremen #Naby Keita
;