Musim 2022-23 terhebat buat The Magpies

Asmawi Bakiri
June 17, 2023 17:16 MYT
Sewaktu sidang media memperkenalkannya sebagai pemain terbaru Newcastle United pada Januari tahun lalu, Bruno Guimaraes mengumumkan ketibaannya didorong oleh keyakinan yang kelab itu mampu untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL).
Ketika itu, The Magpies sedang bergelut di zon relegasi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan penurunan ke Liga Kejuaraan dilihat sebagai lebih berkemungkinan.
Namun, berselang 18 bulan kemudian, firasat Guimaraes terbukti tepat. Selepas satu musim gemilang yang berterusan menyanggahi jangkaan, Newcastle United kini meraih haknya untuk kembali ke saingan tertinggi kelab bola sepak Eropah.
Seperti dirumuskan oleh laman northernecho.co.uk, harus tiada siapa dapat menelah dengan tepat sejauh mana satu kumpulan pemilik baru Newcastle United dari Arab Saudi akan membawa kelab itu.
Kelayakan ke UCL tidak pun tertulis sebagai agenda mereka ketika musim baru bermula pada Ogos tahun lalu tapi pengisian jendela perpindahan pada musim panas lalu tidak dinafikan adalah faktor penting dalam peningkatan mendadak mereka.
Nick Pope dan Sven Botman tiba untuk mentransformasi benteng pertahanan yang tampil selaku yang terkuat dalam liga, disertai Kieran Trippier, Dan Burn dan Alexander Isak, yang sumbangan besar mereka berupaya menyemarakkan Newcastle United sepanjang musim berkenaan.
Tanyalah kepada pengurus, Eddie Howe, mengenai pencapaian sepanjang sembilan bulan lalu dan dia akan mengatakan kem latihan pramusim di bandar percutian Saalfelden di Austria sebagai kuncinya.
Berlatarbelakangkan pemandangan indah Alps, keakraban pemain terjalin yang makin hari makin diperkukuh dan satu kumpulan pemimpin terbentuk untuk memelihara perpaduan, yang menjadi inti pati penting dalam kejayaan The Magpies.
Seterusnya, “intensiti adalah identiti kami” menjadi mantra pasukan yang menyerlahkan corak menekan tinggi yang diamalkan mereka.
Kemenangan ke atas Nottingham Forest adalah permulaan baik pada hari pembukaan dan tiada rasa panik di sebalik ia disusuli rentetan lima keputusan seri dan kekalahan kontroversi kepada Liverpool.
Newcastle melurut ke kelompok bawahan ketika mereka berkunjung ke Fulham pada awal Oktober tapi kemenangan 4-1 yang diraih menjadi titik kebangkitan untuk mereka melonjak ke kelompok empat teratas menjelang akhir tahun.
Kemenangan di Craven Cottage itu juga diingati kerana dua gol Miguel Almiron, yang memulakan rentetan cemerlang buat bintang Paraguay itu menyumbat tujuh gol dalam tujuh perlawanan.
Seorang demi seorang pemain turut menonjol sesudah itu tapi musim luruh menjadi detik Almiron untuk menyinar dengan disokong oleh Joelinton, yang cemerlang dalam peranannya di bahagian tengah, dan Guimaraes, yang turut terserlah sebagai perancang gerakan mereka.
Kekukuhan benteng Newcastle juga berperanan besar dalam peningkatan mereka, dengan rekod tanpa bolos dalam lapan perlawanan di antara Oktober dan pertengahan Januari.
Howe agak bertuah kerana dapat mengekalkan barisan empat pemain pertahanannya serta penjaga gol untuk sebahagian besar musim.
Pemain-pemain juga memberi respons terbaik, dengan Trippier, Botman, Burn dan Fabian Schar semuanya beraksi dengan cemerlang sambil Pope menyerlahkan ketangkasan yang melayakkan tempat dalam skuad Piala Dunia England.
Piala Dunia dikhuatiri menjejaskan momentum mereka tapi dua gol dalam tempoh tujuh minit terhadap Leicester di Stadium King Power apabila aksi liga bersambung sehari selepas Krismas melenyapkan sebarang keraguan.
Dari detik itu, Howe dan barisan pemain kepercayaannya tidak perlu menoleh ke belakang lagi.
#bola sepak #Newcastle United #Eddie Howe #Liga Perdana Inggeris #Rencana
;