Pahang Rangers dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi bertembung dalam perlawanan kemuncak Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) apabila akan berentap dalam menentukan gelaran Piala Malaysia pula.

Pertemuan getir itu menemukan dua pengendali kelahiran Sepanyol yang membawa falsafah berbeza, namun impian untuk menjulang kejuaraan menjadi aspirasi kedua-dua pasukan itu.

Pahang Rangers menempah final kedua musim ini selepas mudah menundukkan Terengganu menerusi agregat 14-3.

Juara MPFL itu kekal dengan pendirian hadir ke pentas final selaku pasukan bukan pilihan dan bagi pengendalinya, Gerard Casas, label sedemikian tidak lebih kepada perang saraf, malah dia mempunyai alasan tersendiri mengenai perkara itu.

"Saya tidak fikir bahawa kami adalah pasukan pilihan kerana sebelum kejohanan bermula, tiada siapa yang jangka memandangkan kami kehilangan ramai pemain kebangsaan yang dipancing JDT.




"Dengan kudrat pemain muda kami masih mampu memenangi liga tapi kami bukanlah pasukan terbaik dan sebuah pasukan yang mahu ditundukkan.

"Kami bukan pasukan pilihan tapi kami telah memenangi liga. Jadi kami akan turun untuk memenangi trofi.

"Kami ada kualiti tapi tiada pemain yang menjadi wira individu. Sehubungan itu, kami perlu beraksi sebagai sebuah pasukan dan keluarga.

"Kami tidak mengubah banyak pendekatan sekalipun berdepan pasukan handalan. Kami mahu menjadi diri sendiri dan berada di tahap 100 peratus," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Di kem JDT pula, kegagalan mendakap sebarang trofi musim ini tidak akan mengubah hala tuju serta nasib pasukan yang baru dibentuk ini, perkara itu dikongsikan Juan Antonio Miguel Garcia.

Apa yang lebih penting buatnya, mereka akan dikekalkan untuk tempoh jangka masa yang panjang sambil meneruskan program latihan yang melibatkan kefahaman taktikal serta budaya dunia futsal moden.

"Di sebalik tanggapan ramai mengenai kehandalan pasukan ini, hakikatnya pasukan ini baru dibentuk.





"Teknik, kaedah latihan dan perubahan ke mentaliti profesional masih baru buat anak buah saya.

"Tetapi kami sudah pun mara ke dua final musim ini jadi ini petanda yang baik untuk kami," katanya pula.