Moyes, Tuchel beza pendapat VAR batal gol West Ham

Shaiful Shamsudin
September 3, 2022 07:49 MYT
David Moyes mengecam keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang "memalukan" selepas West Ham dinafikan gol penyamaan dramatik dalam kekalahan 1-2 kepada Chelsea, sementara Thomas Tuchel sebaliknya bersetuju dengan gesaan untuk tidak membenarkan jaringan lewat Maxwel Cornet itu.
Chelsea mula terbayangkan kekalahan berturut-turut apabila Michail Antonio memberikan West Ham pendahuluan dalam babak kedua di Stamford Bridge, tetapi Ben Chilwell dan Kai Havertz dimasukkan untuk mengubah nasib permainan dengan jaringan masing-masing.
Bagaimanapun, drama perlawanan itu tercetus apabila VAR membatalkan gol rembatan kaki kanan pemain gantian The Hammers, Cornet, selepas Jarrod Bowen dikesan terlebih dahulu mengasari Eduoard Mendy.
Moyes yang terus buntu dalam 18 kunjungan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Chelsea kini menghadapi tempoh kemarau kemenangan paling lama oleh mana-mana pengurus dalam kancah ini (begitu nasib Moyes di Arsenal).
Pengurus West Ham itu berang dengan pembatalan berkenaan sambil menuduh Mendy berpura-pura cedera akibat insiden tersebut dengan berkata: "Anda telah menyaksikannya, ia adalah satu keputusan yang memalukan.
"Ia benar-benar satu keputusan buruk daripada salah seorang pengadil yang dikatakan elit, termasuk sesiapa yang mengendalikan VAR kerana ia adalah keputusan yang sukar dipercayai.
"Kami rasa kami patut mengikat kedudukan 2-2 dan ia dibatalkan tetapi ia bukan berpunca daripada kami. Saya sebenarnya menyokong banyak perkara tentang VAR.
"Saya sebenarnya fikir penjaga gol sengaja berpura-pura tercedera kerana dia tidak boleh mengekangkan percubaan seterusnya. Dia melakukan perkara yang sama dalam gol pertama juga. Entah bagaimana [engadil boleh berpihak kepadanya dan ia luar biasa."
Pemain tengah West Ham, Declan Rice, juga menyatakan rasa tidak senangnya di media sosial selepas perlawanan itu dengan menciap: "Salah satu keputusan VAR terburuk yang pernah dibuat sejak ia diperkenalkan dalam permainan ini. Memalukan."
Tetapi rakan sejawatan Moyes, Tuchel, menyokong keputusan Andy Madley untuk membatalkan jaringan itu dengan memberitahu BBC: "Momentum tuah sentiasa ada, anda tidak boleh merancang sesuatu, tiada kepastian dalam liga seperti ini apa-apa pun boleh dibatalkan tanpa mengira masa.
"Kami bernasib baik hari ini untuk keputusan VAR memihak kami, bagi saya ia adalah keputusan yang tepat. Tetapi seperti yang telah kita bincangkan banyak kali, keputusan yang diraih tidak semestinya memenuhi kehendak anda."
#David Moyes #VAR #West Ham
;