Mourinho puji semangat juang Roma selepas samai rekod tanpa kalah Allegri
Muzaffar Musa
September 24, 2021 09:36 MYT
September 24, 2021 09:36 MYT
AS ROMA 1 UDINESE 0
Jose Mourinho memuji pemain AS Roma kerana dapat bertahan dengan 10 pemain untuk mengekalkan kemenangan 1-0 ke atas Udinese awal pagi tadi untuk ketua jurulatih berbangsa Portugal itu mengayamai rekod tanpa kalah Massimiliano Allegri di laman sendiri dalam Serie A.
Tammy Abraham menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadio Olimpico itu menerusi penyudah kuisannya pada sembilan minit terakhir babak pertama.
Roma bergelut dalam babak kedua di mana mereka kurang menguasai bola berbanding Udinese (47.4 peratus) dan melakukan hanya dua percubaan tepat berbanding tujuh secara keseluruhan, di mana penjaga gol, Rui Patricio, turut perlu melakukan beberapa aksi menyelamat.
Pasukan Giallorossi itu terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain pada lewat permainan apabila Lorenzo Pellegrini dilayangkan kad kuning kedua kerana menyiku Lazar Samardzic tetapi masih mampu meraih kemenangan keempat daripada lima perlawanan pertama liga musim ini.
Ia termasuk tiga kemenangan berturut-turut di Stadio Olimpico di bawah kendalian Mourinho, yang kini merekodkan 41 perlawanan tanpa tewas di gelanggang sendiri dalam liga Itali jika turut mengambil kira sewaktu tempohnya mengendalikan Inter Milan sebelum ini.
Dia hanya kekurangan satu perlawanan untuk mencipta rekod perlawanan tanpa kalah di laman sendiri terbanyak sepanjang era tiga mata bagi setiap kemenangan (sejak musim 1994-95), dengan Allegri terlebih dahulu mencapai jumlah yang sama ketika melakukannya bersama Juventus dari September 2015 hingga September 2017.
Mourinho gembira pasukannya dapat meraih tiga mata ketika berdepan Udinese dan melonjak ke tangga keempat liga tetapi sedar prestasi pasukannya menurun dalam babak kedua.
"Kami bermain baik selama lebih kurang 35 minit," kata pengendali itu dalam sidang media selepas perlawanan.
"Kami dapat menguasai penuh permainan, keputusan 1-0 amat sedikit jika dibandingkan dengan apa yang kami lakukan.
"Dalam babak kedua, kami agak bergelut dan mereka mula memberikan reaksi.
"Kami terpaksa menghadapi sedikit kesukaran tetapi kami melakukannya sebagai satu pasukan.
"Kami bermain selama enam atau tujuh minit dengan kekurangan seorang pemain dan berjuang dengan gigih untuk mendapatkan tiga mata," katanya.