Jose Mourinho memuji profesionalisme yang ditunjukkan seluruh skuad Manchester United selepas membenam cabaran Burton Albion dengan kemenangan 4-1 untuk layak ke pusingan keempat Piala Carabao, awal pagi tadi.

Sembilan pertukaran dilakukan Mourinho untuk menentang pasukan dari Liga Kejuaraan itu dan beberapa tonggak utama seperti Romelu Lukaku, Antonio Valencia, Nemanja Matic dan David De Gea direhatkan.

Marcus Rashford dan Anthony Martial turun beraksi bersama buat kali pertama musim ini untuk digandingkan bersama Jesse Lingard di barisan hadapan dan ternyata percaturan itu berjaya menghadirkan empat gol.

"Kadangkala, pemain-pemain yang beraksi dalam kejohanan ini tidak begitu profesional tetapi apa yang ditunjukkan oleh United pada hari ini jelas satu persembahan yang profesional," ujar Mourinho.

"Kami tidak memberi ruang kepada lawan. Saya rasa Burton berjuang untuk menjaga maruah dan pengurus, Nigel Clough, tanpa berselindung menyifatkan perlawanan pada hujung minggu lebih penting.

"Tiada perkara baru yang saya pelajari. Semua pemain United mahu bermain dan mereka bersedia untuk diturunkan. Saya gembira melihat komitmen yang ditunjukkan,” tambahnya.

"Terdapat beberapa persembahan hebat dan pasukan kini menikmati permainan. Kini, kami benar-benar gembira bermain bola sepak," katanya.

Lingard mengakui dirinya serta rakan sepasukan terdesak untuk mempertahankan kejuaraan Piala Liga yang dimenangi pada tahun lalu.

“Kami sentiasa dahagakan kejuaraan. Jika kami mengekalkan prestasi ini, kami akan meraih pelbagai kemenangan,” kata Lingard.

United telah diundi bertemu Swansea City dalam pusingan keempat Piala Carabao.