Mourinho jangka jendela perpindahan pelik, enggan ulas status Kane
Muzaffar Musa
April 3, 2021 10:00 MYT
April 3, 2021 10:00 MYT
Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, berkata bahawa dia menjangkakan jendela perpindahan hujung musim ini akan menjadi "pelik" gara-gara kesan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 kepada setiap kelab bola sepak.
Spurs mencetus spekulasi berkenaan perpindahan pemain mereka, terutama melibatkan penjaga gol, Hugo Lloris, dan penyerang, Harry Kane.
Mourinho enggan mengulas mengenai perpindahan Kane sambil menegaskan bahawa mereka masih belum berbincang mengenai masa depan pemain itu dan menjangkakan jendela perpindahan kali ini tidak akan seperti kebiasaan walaupun dia tidak menggambarkan kepentingan untuk pasukannya melakukan pembelian pemain.
"Kami tahu apa yang kami mahukan tetapi pada masa sama, kami boleh menjangkakan satu musim panas yang pelik," kata Mourinho menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United malam esok.
"Saya percaya ia akan menjadi sedikit aneh berdasarkan perbezaan jendela perpindahan kali ini dengan yang sebelumnya tetapi buat masa ini, saya tidak fikir ia mengenai sesiapa berjuang untuk masa depan mereka.
"Saya fikir ia mengenai setiap orang berjuang untuk memungut mata yang kami perlukan untuk menamatkan musim ini dengan sebaik mungkin," katanya.
Kane merupakan topik hangat sejak akhir-akhir ini dengan yang terbaru terdapat spekulasi bahawa penyerang kebangsaan England itu dikaitkan untuk menyertai Manchester City.
"Tidak, Dia berusaha dengan amat baik setiap hari," kata Mourinho ketika ditanya sama ada dia ada berbincang dengan Kane mengenai masa depan pemain itu.
? March's @PremierLeague Goal of the Month... ?? ⚽️ @ErikLamela #THFC ⚪️ #COYS pic.twitter.com/bZkEWPTosk
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) April 2, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Dia seorang yang profesional, komited dengan pasukan, beraksi baik. Saya tiada apa-apa untuk bercakap dengannya.
"Dia masih ada kontrak tiga tahun. Saya tiada apa untuk dibincangkan dengannya. Melainkan dia mahu berbincang dengan saya mengenainya dan sehingga hari ini, dia masih tidak mengajak saya untuk berbincang tentang apa-apa," katanya.
Berkenaan Lloris, yang kontraknya bersama Tottenham hanya berbaki 12 bulan, Mourinho menambah: "Anda tahu saya tidak mahu menyakiti sesiapa dan saya harap setiap orang dapat menerima pandangan saya.
"Pada pandangan saya, kami mempunyai penjaga gol terbaik di England dan penjaga gol berbangsa Inggeris terbaik (Joe Hart).
"Saya amat gembira kerana dengannya, saya tidak perlu berfikir mengenai apa yang boleh atau tidak boleh berlaku. Hugo masih ada kontrak, Joe masih ada kontrak. Saya amat gembira dengan mereka," katanya lagi.