MotoGP: SIC sahkan pelumba negara terima tiket wildcard
Najmi Iman
October 15, 2024 20:24 MYT
October 15, 2024 20:24 MYT
Menjelang kejuaraan Grand Prix Motorsikal (MotoGP), Helmi Azman, Khairul Idham Pawi dan Azroy Hakeem merupakan antara nama yang bakal mengisi tiket Universal bersandarkan prestasi semasa masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, mengesahkan keberadaan pelumba negara bagi kategori moto 2 pada kejohanan tersebut November ini.
"Saya difahamkan pelumba terlibat sedang membuat persiapan, insya-ALLAH seawal minggu depan atau dua minggu lagi akan ada pengumuman. Bukan dalam kelas utama (MotoGP), mungkin dalam kelas Moto2 atau Moto3,” katanya.
Dalam masa sama, Azhan Shafriman turut menjelaskan beberapa penambahbaikan dilakukan menjelang perlumbaan nanti.
"Ia termasuk memperbaiki sistem pembetungan kita kerana perpaipan itu tak pernah tukar sejak 1999.
"Bagi trek, kita hanya buat Misano kerb di turn 15 untuk mematuhi syarat perlumbaan diperkenalkan bagi menjaga had trek. Kita akan tinggikan kerb ke tahap tertentu, supaya motosikal tidak melepasi kerb tersebut,” tambahnya.