Motivasi terbaik menuju ACL2 -- Nidzam Jamil

Najmi Iman
September 14, 2024 17:10 MYT
Pengendali Selangor, Nidzam Jamil, gembira dengan persembahan ditunjukkan para pemainnya selepas membelasah Kuching City 4-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.
Menurutnya, perkara paling penting ialah meraih tiga mata berharga selain terus kekal di kelompok teratas liga.
"Kita gembira menang dapat tiga mata dan kekal di kelompok teratas liga. Di Piala FA sebelum ini, kita bermain dengan Kuching juga (suku akhir) dan perlawanan lebih dramatik.
"Tetapi hari ini kita berbeza dan sudah tentu paling penting kita gembira pemain yang pulang dari tugasan antarabangsa tidak cedera dan dapat siapkan pasukan dalam beberapa hari," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan 22 mata dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memungut 25 mata dan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Selepas ini, Selangor dijadualkan menentang kelab Thailand, Muangthong United di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, Khamis depan dalam aksi Liga Juara-juara Asia 2 (ACL2).
"Ini adalah pengalaman pertama kita selepas tujuh atau lapan tahun di luar Asia, sudah tentu kemenangan ini membangkitkan motivasi.
"Tetapi, pentas Asia ini sangat berbeza, kita kena tingkatkan banyak perkara untuk bersaing di pentas Asia," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Selangor #Nidzam #Jamil #Liga Juara-juara Asia 2), ACL2,