Southampton telah melengkapkan penghijrahan penjaga gol Manchester City, Gavin Bazunu, selepas dilaporkan membayar £12 juta (RM64.5j) ke atas pemain antarabangsa Republik Ireland itu.

Bazunu -- yang mempunyai 10 penampilan bersama negaranya tetapi tidak pernah mewakili pasukan utama City selepas tiba dari Shamrock Rovers pada 2019 -- bersetuju menandatangani kontrak selama lima tahun.

Berita perpindahan itu bertambah manis buat peminat Southampton memandangkan Bazunu pernah menghabiskan kempen 2021-22 secara pinjaman dengan seteru tempatan, Portsmouth, yang menyaksikannya ditabalkan sebagai Pemain Terbaik kelab berkenaan musim lalu.

Pasukan bimbingan Ralph Hasenhuttl itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021-22 di tangga ke-15 selepas gagal memenangi enam perlawanan terakhir selain bakal kehilangan penjaga gawang berpengalaman, Fraser Forster, yang memilih Tottenham.

Southampton menggunakan tiga penjaga gol berbeza dalam kempen liga musim lalu yang menyaksikan Forster kerap terpilih apabila melakukan 19 penampilan.

Biarpun mempamerkan peratusan menyelamat setinggi 66.02 peratus, Forster termasuk Alex McCarthy (61.97 peratus) dan Willy Caballero (54.55 peratus) masih bergelut untuk memastikan kekebalan Southampton, lantas Hasenhuttl menyifatkan pengalaman Bazunu yang pernah mendapat tunjuk ajar Pep Guardiola adalah calon paling ideal untuk mengisi kekosongan itu.

“Dia seorang penjaga gol dengan gaya permainan yang sangat moden, selesa dalam fasa pembinaan," kata pengurus itu.




"Dia telah berkembang secara fizikal melalui beberapa langkah pinjaman yang sangat penting pada awal kariernya.

“Dia sudah menjadi tonggak antarabangsa, ia jarang berlaku terhadap pemain seusianya.

"Berasal daripada Manchester City, kami tahu dia telah belajar daripada beberapa jurulatih dan rakan sepasukan yang terbaik. Dia ke mari untuk meraih lebih banyak peluang bagi mengembangkan permainannya melalui aksi EPL."

Bazunu -- yang dalam senarai berada di belakang Ederson, Zack Steffen dan Scott Carson di City -- menganggap langkah ini mewakili peluangnya untuk beraksi kerap dalam EPL.

"Apa yang paling mustahak ialah peluang -- saya datang ke sini dan berpeluang kerap diturunkan," kata pemain berusia 20 tahun itu.

"Peluang untuk berjuang merebut tempat bagi saya adalah perkara terbesar yang saya boleh harapkan."