Milan menang, Montella tidak puas hati
Penulis Jemputan
September 21, 2017 08:42 MYT
September 21, 2017 08:42 MYT
AC MILAN 2 SPAL 2013 0
Pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, menuding jarang ke arah jadual pasukannya yang padat sebagai punca kepada aksi longlai anak buahnya dalam saingan Serie A.
Milan menewaskan pendatang baru, SPAL 2013, 2-0 di San Siro awal pagi tadi dalam pertemuan yang menyaksikan skuad Rossoneri bertungkus-lumus untuk mencatat kemenangan.
Kedua-dua gol Milan diraih hasil sepakan penalti dua pemain yang baru menyertai skuad pada musim ini, Ricardo Rodriguez serta Franck Kessie, sekaligus membuatkan Montella tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati dengan jadual yang diharungi pasukannya.
Skuad Rossoneri beraksi dalam empat perlawanan dalam tempoh 10 hari dan dia mengenal pasti bahawa aksi yang berterusan sebegitu membuatkan pemain-pemain gagal beraksi di tahap sebenar akibat kepenatan.
“Sebuah pasukan yang matang akan memahami bahawa kami sedang melalui perlawanan keempat dalam beberapa hari dan pastinya pemain-pemain tidak mampu memperagakan aksi yang konsisten.
“Ia satu kemenangan yang berhak diraih tetapi kami perlu beraksi dengan kesinambungan yang lebih teratur dalam 90 minit.
“Ia menjadi sukar apabila SPAL beraksi dengan amat baik, namun pasukan sentiasa fokus terhadap perlawanan dan tahu apa yang perlu dilakukan walaupun ketika bertahan," kata Montella.