Mikel Arteta mempertahankan prestasi Kai Havertz untuk memenangi peminat dan tampil cemerlang di Arsenal selepas pembelian musim panas daripada Chelsea itu mengharungi permulaan yang hambar di Emirates.

Havertz tiba dengan harga £65 juta (RM380.9j) pada Jun lalu dan telah diturunkan dalam barisan utama ketiga-tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berperanan sebagai sebahagian daripada tiga pemain tengah musim ini.

Dia dikeluarkan selepas 56 minit ketika terikat 2-2 dengan Fulham kelmarin selain bergelut untuk membantu kebangkitan Arsenal selepas mereka ketinggalan kepada gol minit pertama Andreas Pereira.

Dia memiliki satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada awal separuh masa pertama tetapi gagal menyambut baik hantaran silang Bukayo Saka.

Justeru, sebahagian sokongan tuan rumah mula menyuarakan rasa tidak puas hati pada saat-saat tertentu tatkala pemain antarabangsa Jerman itu menguasai bola.

Pemain yang menggantikannya, Fabio Vieira, kemudian mencipta impak lebih baik dengan memenangi sepakan penalti untuk disempurnakan Saka bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-70, dan seorang lagi pemain gantian, Eddie Nketiah, meletakkan Arsenal di hadapan beberapa saat kemudian.

Arteta menegaskan dia berpuas hati dengan sumbangan Havertz setakat ini dan tetap yakin pemain dari Jerman itu mampu menyerlah di utara London.

“Saya ternampak satu detik dia membuat hantaran ke belakang sedangkan dia boleh berpaling,” kata pengurus itu.


“Tetapi itu lebih menjurus kepada apa yang peminat harapkan iaitu membuat hantaran ke depan dan memberi impak kepada permainan di kawasan sepertiga akhir kerana kami terdesak untuk memenangi perlawanan.

“Ya, saya fikir lambat laun dia akan memenangi hati peminat. Saya fikir dia sudah beraksi dengan sangat baik pada hari ini. Dia berdepan kesukaran pada saat-saat tertentu, dia kembali ke kedudukan yang tepat tetapi malangnya hantaran tidak tiba.

"Dia mempunyai banyak peluang dan dia sepatutnya menjaringkan banyak gol musim ini, itulah satu-satu aspek yang dia tiada."