Khris Middleton mengisi kekosongan yang ditinggalkan Giannis Antetokounmpo dengan mendaftarkan 34 mata ketika membantu Milwaukee Bucks menewaskan Sacramento Kings 133-127 hari ini.

Antetokounmpo tidak dapat memperkuatkan pasukan juara bertahan itu gara-gara kecederaan lutut tetapi Middleton menutup kekurangan itu dengan menghasilkan 34 mata, termasuk lima jaringan tiga mata, enam rebound dan lima bantuan.

Jrue Holiday turut menjadi antara penyumbang terbesar dengan 26 mata, lima rebound dan empat bantuan untuk Bucks memberikan respons terbaik selepas permulaan perlahan dengan 71 mata dalam separuh masa kedua.

Tyrese Haliburton pula menjadi pemain terbaik Kings dengan 24 mata, termasuk lima jaringan tiga mata, dan 12 bantuan.

Kemenangan ke-17 itu memperbaiki rekod Bucks kepada 30-19 untuk kini menduduki tangga kelima Persidangan Timur.