MFL menentang keras penstriman secara haram aksi Liga Malaysia

Saufi Tahir
October 2, 2024 12:29 MYT
Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan hari ini menentang sekeras-kerasnya aktiviti penstriman secara haram untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2024-2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, komited untuk melindungi nilai komersial Liga Malaysia susulan hak penyiaran merupakan pendapatan besar buat kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia di mana kami juga ingin menjaga hak penyiar rasmi iaitu Astro dan RTM yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong.
"Kami juga mahu melindungi nilai komersial Liga Malaysia di mana hak penyiaran juga adalah antara punca pendapatan besar kepada kelab-kelab.
“Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku.
“Harapan saya adalah penyokong-penyokong tidak sesekali menonton sebarang perlawanan secara haram sebaliknya menonton siaran yang telah disediakan iaitu Astro dan RTM,” jelasnya.
Terdahulu, Kelantan Darul Naim (KDN) dikenakan denda sebanyak RM5,000 serta amaran pertama selepas mengeluarkan kenyataan media dengan mempromosikan penstriman langsung (bukan penyiar rasmi) di laman media sosial rasmi kelab pada 27 September 2024.
Ini jelas melanggar Peraturan Media seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024 dan juga telah termaktub mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta.
#bola sepak #MFL #Malaysian Football League #Liga Super 2024/2025