Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Grab Malaysia menerokai kerjasama demi merancakkan Liga Malaysia (Liga M) dengan menawarkan pelbagai tawaran menarik.

Melalui kerjasama ini, Grab akan berpeluang untuk berinteraksi dengan peminat bola sepak di lapangan, termasuk pengguna Grab dan rakan-pemandu dan penghantar Grab.

Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman peminat bola sepak Malaysia, melalui pelbagai usaha, samaada secara langsung di stadium atau di aplikasi Grab, bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah,10 Mei ini.

Pelbagai tawaran menarik yang boleh dinikmati untuk meraikan demam bola sepak di aplikasi Grab.

“Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama terbaru dengan Grab Malaysia bersama MFL. Kami yakin Grab Malaysia akan meningkatkan pengalaman peminat bola sepak yang hadir di stadium mahupun menonton dari rumah.

"Bola sepak sentiasa menjadi kuasa penyatuan di negara kita kerana ia menyatukan orang ramai dan memupuk perpaduan serta kebersamaan. Kerjasama ini berhasrat untuk meningkatkan penglibatan dan pengalaman para peminat, serta mencipta detik yang tidak dapat dilupakan bagi mereka di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.