Lionel Messi menerima bahawa Real Madrid lebih layak untuk dinobatkan sebagai juara LaLiga musim ini selepas Barcelona gagal mempertahankan gelaran itu awal pagi tadi.

Barca perlu mengelak daripada keciciran mata dalam perlawanan menentang Osasuna awal pagi tadi manakala Madrid hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobatkan juara buat kali pertama sepanjang tiga musim ini.

Bagaimanapun, Barca -- yang muncul juara sepanjang dua edisi lalu -- tewas 1-2 kepada Osasuna di Camp Nou, sedangkan Madrid menundukkan Villarreal dengan keputusan sama untuk skuad Los Blancos itu sah bergelar juara.

Dan bintang Barca, Messi, yang memadamkan jaringan Jose Arnaiz dengan sepakan percuma gemilangnya sebelum Roberto Torres menjaringkan gol kemenangan Osasuna dalam waktu kecederaan, mengakui pasukannya merupakan yang kedua terbaik sepanjang kempen kali ini.

"Kami berusaha keras sepanjang musim ini tetapi kami tidak tekal," katanya kepada Movistar.

"Hari ini sukar untuk kami melepas penjaga gol. Saya tidak fikir kami patut tewas tetapi kami menyedari keadaan perlawana n ini dan kami sedar kami perlu bersabar untuk mencari jalan menghasilkan gol.

"Saya fikir Real Madrid sudah melakukan apa yang mereka perlu lakukan. Mereka melakukannya dengan amat baik selepas liga kembali bersambung.

"Sudah pasti kami berdepan banyak kecederaan dan keciciran banyak mata dalam perlawanan dan kami kini perlu menilai kekurangan diri dan setiap kesilapan yang kami lakukan pada musim panas ini.

"Melihat kepada perjalanan sepanjang musim ini, sudah pasti Madrid lebih layak menang.

"Kami perlu menilai diri sendiri dan memperbetulkan kesilapan daripada memikirkan mengenai pasukan lain.

"Amat sukar untuk memenangi gelaran jika anda beraksi sebagaimana kami beraksi hari ini," katanya.