Lionel Messi berkata dia berharap Diego Maradona dapat menyampaikan trofi Piala Dunia kepada dirinya bulan lalu.

Messi membantu Argentina memenangi gelaran juara dunia keempat di Qatar hujung tahun lalu dan memenangi Anugerah Bola Emas selepas mendaftarkan tujuh gol dalam kejohanan itu -- termasuk dua jaringan ke atas Perancis dalam final.

Ia merupakan kejuaraan Piala Dunia pertama La Albiceleste sejak Maradona -- yang meninggal dunia pada 2020 -- mempamerkan aksi luar biasa ketika membantu negara mereka memenangi gelaran sama di Mexico pada 1986.

Dalam satu temu bual bersama Andy Kuznetsoff di Paris, Messi berkata dia terkilan apabila Maradona -- yang melatihnya sewaktu Piala Dunia 2010 -- sudah tidak ada untuk menyaksikan dia menjulang trofi berkenaan.

"Kalau boleh saya mahu Diego menyampaikan trofi itu kepada saya, atau sekurang-kurangnya dapat melihat semua ini, dapat melihat Argentina sebagai juara dunia, atas segala yang diinginkannya dan atas betapa besar cintanya buat skuad kebangsaan kami.

"Saya fikir di atas sana, dia -- sama seperti ramai orang lain yang sayangkan saya -- dapat melihatnya," katanya.