Messi anggap Totti 'luar biasa'
Penulis Jemputan
May 31, 2017 10:47 MYT
May 31, 2017 10:47 MYT
Lionel Messi memberi penghormatan kepada Francesco Totti dengan menyifatkannya sebagai "luar biasa" selepas legenda itu bermain dalam perlawanan terakhirnya untuk Roma dalam Serie A, kelmarin.
Totti melabuhkan tirai 25 musim bersama Roma dalam kemenangan 3-2 ke atas Genoa, dengan pemain berusia 40 tahun itu tampil dari bangku simpanan untuk membantu mendapatkan tempat kedua dan layak ke pentas Liga Juara-Juara musim depan.
Sepanjang kerjaya cemerlangnya, Totti menjaringkan 307 gol dalam 786 penampilan dalam semua pertandingan, mengumpul satu Scudetto dan dua gelaran Coppa Italia.
Sebelum ini, Sergio Ramos, Antonio Conte dan Daniele De Rossi semua memuji penyerang itu selepas perlawanan hujung minggu lalu, dan Messi ikut serta.
Dalam mesej yang diterbitkan menerusi akaun Facebooknya, pemain antarabangsa Argentina itu menulis: "Kamu adalah luar biasa, Capitano! Harap yang terbaik di peringkat kehidupan kamu seterusnya ,Francesco Totti".
Masa depan Totti masih tidak menentu. Ramai yang berpendapat dia akan bersara selepas kemenangan ke atas Genoa tetapi pemain itu membayangkan dia mempunyai "pengembaraan baru" dalam kerjayanya di hadapan.