PARIS SAINT-GERMAIN 2 ANGERS 1

Bintang muda Perancis, Kylian Mbappe, membuktikan dirinya aset bernilai pasukan apabila dua jaringannya memberikan Paris Saint-Germain (PSG) kemenangan 2-1 ke atas Angers dalam aksi liga di Parc Des Princes, awal pagi tadi.


Bermain di laman sendiri, skuad kendalian Unai Emery itu hampir mengutip gol awal menerusi Edinson Cavani selepas pemain Uruguay itu menerima hantaran Marco Verratti untuk berdepan penjaga gol, Ludovic Butelle, namun pengadil perlawanan meniup wisel tanda ofsaid pada minit kelima.

Bagaimanapun, PSG akhirnya membuka tirai jaringan, tujuh minit kemudian. Mbappe yang melakukan larian tenang mengutip hantaran Julian Draxler sebelum mudah menewaskan Butelle.

Ketika PSG terus melakukan asakan bagi menggandakan asakan, Thiago Motta mencuri tumpuan apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-16.

Bekas tonggak Inter Milan itu dilihat cuba merebut bola di udara bersama benteng Angers, Romain Thomas, tetapi Motta dilihat memijak pemain lawan, sekaligus memaksa pengadil terus memerintahkannya keluar padang.

Biarpun bermain dengan 10 orang, tuan runah tidak berdepan masalah untuk menambah jaringan apabila Mbappe sekali lagi mencuri perhatian dengan gol kedua.

Thiago Silva melakukan hantaran jauh buat Layvin Kurzawa sebelum pertahanan Perancis itu melepasi halangan Vincent Manceau untuk melorongkan bola buat Mbappe. Pemain yang dipinjamkan dari Monaco itu tenang melepaskan tendangan ke penjuru kanan gol bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Pelawat cuba merapatkan kedudukan dalam babak kedua hasil gerakan serangan balas daripada Falvien Tait yang membolehkan pemain gantian, Karl Toko Ekambi, menewaskan Kevin Trapp.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan PSG kini semakin selesa di puncak Ligue 1 dengan 80 mata, meninggalkan Monaco di tempat kedua dengan 63 mata.