Mauricio Pochettino memuji kehebatan jentera serangan Chelsea dalam kemenangan 3-0 mereka ke atas Luton semalam dan mengulangi kelab itu hanya akan kembali ke pasaran perpindahan jika ada calon ideal untuk penyerang kanan.

Pelawat mengintai kemenangan pertama di Stamford Bridge dalam tempoh 36 tahun tetapi belum mampu menandingi barisan kendalian Pochettino itu yang mengatasi kegugupan awal untuk mencetak kemenangan pertama di bawah pengurus terbabit.

Raheem Sterling meneruskan permulaan baiknya musim ini dengan dua gol dan satu bantuan jaringan untuk tonggak baru, Nicolas Jackson, membuka akaun penjaringnya buat kelab itu.

Penyerang England itu dilihat meletakkan tempoh permulaan buruknya di barat London dengan menggeleek pertahanan Luton untuk memecah kebuntuan selepas 17 minit permainan sebelum memberi ketenangan kepada Chelsea dengan gol kedua dalam babak kedua.

Peluang menarik yang diciptan Sterling kepada Jackson daripada hantaran lintang rendah selepas mengutip umpanan Enzo Fernandez melambangkan keyakinan barunya di bawah asuhan Pochettino.

Dan pengurus itu sekali lagi menyatakan bahawa sebarang usaha mengukuhkan skuad walaupun dialu-alukan hanya akan dilakukan seandainya mereka mempunyai profil pemain yang tepat.

"Beginilah cara yang kami gemari untuk bekerja," katanya.


“Sukar untuk memenangi perlawanan jika tiada keamatan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Kami menyaingi tenaga Luton jadi saya fikir itu adalah salah satu kuncinya. Dan selepas itu bergantung kepada kualiti untuk menjaringkan gol dan mencipta peluang.

"Saya tidak tahu tentang perkara lalu, saya tidak boleh bercakap tentang masa lalu. Kita hanya boleh bercakap tentang perkara ketika ini dan masa depan selain cara kami mahu menyahut tekanan dan cabaran dalam membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja penuh bertenaga malah dalam soal kualiti -- untuk mempunyai kemampuan berdaya saing dan mencabar pasukan besar seperti Liverpool dan Manchester City.

“Saya sangat gembira kerana persembahan barisan saya sangat mantap tetapi ini hanya langkah pertama. Kami perlu terus bekerja keras untuk meningkat kerana saya fikir kami masih jauh untuk mengetengahkan (identiti) permainan kami. Tetapi saya fikir kami berada di kedudukan yang sangat baik.

“Seperti yang berlaku minggu lalu walaupun kami tewas kepada West Ham, ia tidak akan mengubah perancangan kami. Kami berlatih untuk menjayakannya dan keputusan ke atas Luton ini adalah positif.”