Mauricio Pochettino memuji aksi cemerlang pemainnya selepas Chelsea menamatkan rekod tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dengan menewaskan Brighton dalam pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.

Penyokong tuan rumah menjadi saksi kemenangan Chelsea di Stamford Bridge buat kali ketiga sejak Mac lalu apabila jaringan Nicolas Jackson menjadi perbezaan di antara kedua-dua pasukan dan mengesahkan pertemuan pusingan keempat dengan Blackburn.

Jackson menjaringkan gol lima minit memasuki separuh masa kedua dengan penyudah tersusun daripada hantaran Cole Palmer, sekali gus menjadi pemain Chelsea pertama menjaringkan gol sejak Enzo Fernandes melakukan perkara sama dalam pusingan kedua menentang AFC Wimbledon pada 30 Ogos lalu.

Pochettino telah berulang kali mengatakan persembahan pemainnya lebih baik daripada keputusan perlawanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan dia berasa lega apabila akhirnya dapat melihat perubahan untuk memberikan kemenangan yang selayaknya buat mereka.

"Sangat gembira dengan persembahan kali ini," katanya.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan ia juga penting untuk membina momentum terbaik kami bermula hari ini.

"Sangat gembira apabila penyerang dapat menjaringkan gol penting buat kami. Dia perlu membuat jaringan, ia juga adalah perlawanan yang penting buatnya.

"Semua bermain dengan baik. Jika kita menilai, semua pemain berada di tahap yang sangat memuaskan.

"Cole adalah pemain yang berbakat, dia adalah kunci dalam kemenangan ini. Dia masih muda tetapi kita dapat lihat betapa bagusnya dia hari ini.

"Saya rasakan semua pemain menunjukkan karakter dan personaliti yang terbaik."