Mauricio Pochettino tidak terburu-buru menagih prestasi terbaik daripada muka baru di Chelsea walaupun sudah melabur lebih daripada £350 juta (RM2 bilion) dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Kelab London itu masih kemarau kemenangan selepas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan memungut satu mata di bawah pengurusan baru itu, malah kredibiliti Pochettino mula dipersoalkan gara-gara tumbang 1-3 kepada West Ham Ahad, awal minggu ini.

“(Ia tidak realistik) sekiranya kami menjangka persembahan terbaik daripada Caicedo, (Romeo) Lavia, (Axel) Disasi pada hari ini, semua pemain yang tiba pada saat-saat akhir hanya sempat berlatih dengan kami beberapa hari dan mula bersaing,” katanya.

“Sudah tentu berdasarkan persepsi terhadap pemain ini, pastilah kita mengharapkan yang terbaik daripada mereka dan kami harus memenangi setiap perlawanan.

“Tetapi pada tahap prestasi mereka ketika ini, kami perlu membuat persediaan untuk bertambah baik setiap hari.



"Corak permainan kami, pelantar dan struktur pasukan memberi isyarat bahawa kami menuju ke landasan yang tepat. Ia hanya menunggu masa untuk menyusun semuanya dan mula memberikan persembahan hebat.

“Dengan situasi dengan perpindahan masuk dan keluar dan sebaik jendela perpindahan ditutup minggu depan, ia akan bertambah mudah untuk menyusun segalanya.

"Saya tidak ragu-ragu tentang kualiti skuad ini.”