Mentaliti Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus diuji apabila dikerah untuk bangkit sebelum mengesahkan tempat ke pusingan 16 Masters Jepun di Kumamoto, sebentar tadi.

Beregu lelaki dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, memberi tekanan awal kepada gandingan utama kebangsaan itu apabila mendahului set pertama kejohanan bertaraf super 500 terbabit sebelum merakamkan kemenangan 21-15.

Namun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah melatah apabila menyusun permainan yang lebih kemas ketika berdepan finalis Terbuka Denmark yang menguasai ranking ke-20 jelajah dunia itu.

Walaupun melepaskan empat mata berturut-turut dan membenarkan lawan menghambat kedudukan 17-18, namun tiga mata berturut-turut membolehkan mereka merakamkan kemenangan 21-17.


Set penentuan menjadi lebih mudah buat Aaron-Wooi Yik -- yang sedang memburu slot ke Akhir Jelajah Dunia di Hangzhou bulan depan -- dengan mencipta kejayaan 21-9, sekali gus mengatur pertemuan dengan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh/Wang Chi-Lin esok.

Mereka mengorak langkah ke peringkat seterusnya selepas menundukkan satu lagi gandingan Malaysia daripada peringkat kelayakan, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, dalam aksi dua set.