Mascherano ratapi kecederaan Romero
Penulis Jemputan
May 24, 2018 08:47 MYT
May 24, 2018 08:47 MYT
Javier Mascherano amat terkesan dengan kecederaan yang melanda Sergio Romero menjelang Piala Dunia 2018.
Penjaga gol Manchester United itu dijangka menjadi pilihan utama Jorge Sampaoli, namun masalah di bahagian lutut menyaksikannya terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Russia.
Pemain Tigres UANL, Nahuel Guzman, telah dipanggil untuk menyertai pemain Chelsea, Willy Caballero, dan Franco Amani (River Plate) bagi mengisi slot penjaga gol skuad Argentina.
"Kecederaan Romero memberi tamparan besar buat saya, bukan sekadar pemain bola sepak tetapi sebagai seorang manusia," kata Mascherano yang akan bersara daripada arena antarabangsa selepas aksi di Russia.
"Dia telah mengetuai pasukan selama 10 tahun. Dalam bola sepak, perkara begini akan berlaku. Kami harus mengucapkan selamat berjaya buat Guzman dan teruskan cabaran.
"Kami telah melalui sesuatu yang tidak dijangka tetapi yakin dengan pemilihan 23 pemain yang telah dilakukan oleh pengurus pasukan," tambahnya.
Mascherano, yang kini telah meraih 142 penampilan bersama Argentina dan memegang rekod terbanyak bersama Javier Zanetti, berharap dapat menampilkan aksi terbaik bersama skuad negaranya.
"Kebiasaannya, bola sepak sering berubah dan tidak tetap. Kami sedar Piala Dunia bukan sesuatu yang mudah tetapi tetap akan bersaing.
"Sudah tentu ini adalah peluang saya yang terakhir. Saya berharap dapat beraksi dengan baik dan paling penting, mempamerkan kemampuan sebenar Argentina," ujarnya.
Argentina yang dibelasah Sepanyol 6-1 dalam aksi terakhir sebelum ini bakal bertemu Iceland, Croatia dan Nigeria dalam aksi Kumpulan D.