Mascherano harap Neymar tidak terlepas aksi El Clasico
April 11, 2017 08:14 MYT
Pertahanan Barcelona, Javier Mascherano, percaya rakan sepasukannya, Neymar, akan kembali bersedia untuk menghadapi aksi El Clasico berdepan Real Madrid selepas dilayangkan kad merah ketika berdepan Malaga.
Pemain kebangsaan Brazil itu menerima kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras ke atas Diego Llorente ketika Barca tewas 2-0 dalam saingan LaLiga pada Sabtu lalu, sekaligus digantung satu perlawanan.
Bagaimanapun, hukuman Neymar mungkin dilanjutkan apabila dia bertepuk tangan secara sinis kepada pegawai perlawanan ketika meninggalkan padang.
Dan jika dia digantung satu lagi perlawanan liga, Neymar akan terlepas aksi 23 April berdepan Real Madrid di Bernabeu, perlawanan yang penting bagi menentukan pasukan mana yang bakal menjuarai LaLiga, musim ini.
Menjelang pertemuan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) di Turin berdepan Juventus, Mascherano mencadangkan Neymar seharusnya dihukum hanya satu perlawanan.
"Kami akan tunggu dan lihat apa yang akan berlaku," kata Mascherano.
"Terdapat beberapa pemain lain yang melakukan perkara yang sama tetapi masih digantung satu perlawanan."