Mascherano harap Neymar pulang ke Barcelona
Nafis Abdullah
April 17, 2020 11:15 MYT
April 17, 2020 11:15 MYT
Bekas bintang Barcelona, Javier Mascherano, berharap tonggak Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, akan kembali bersama juara LaLiga itu dan beraksi bersama Lionel Messi dan Luis Suarez.
Neymar melengkapkan perpindahan termahal dunia bernilai EUR222 juta (RM1.08 bilion) pada 2017 tetapi bintang Brazil itu sering dikaitkan untuk kembali ke Camp Nou.
Pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi Barca selama empat musim, di mana dia memenangi dua trofi LaLiga dan satu Liga Juara-Juara Eropah.
Mascherano merupakan rakan sepasukan Neymar sewaktu Barca menjulang trofi Liga Juara-Juara pada musim 2014-15 selepas menewaskan Juventus 3-1 di Berlin dan bekas kapten Argentina itu mengimbas kembali kejayaan di Olympiastadion.
"Saya menyaksikan semula aksi di Berlin dan rangkaian tiga penyerang menerusi Neymar, Suarez dan Messi sangat hebat," katanya.
"Setiap antara mereka menempatkan pasukan dalam keduduka terbaik, memberikan tekanan selepas kehilangan bola dan mengawalnya.
"Mereka menambah kekuatan kepada corak permainan kami. Saya harap Neymar pulang ke Barca dan mereka beraksi bersama. Ia tentunya sesuatu yang bagus untuk kelab dan peminat."