Sesudah berpisah dengan Fernando Santos, pengurus yang mengendalikan pasukan kebangsaan Portugal buat lapan tahun lamanya, keputusan menjadikan Roberto Martinez, bekas pengurus pasukan kebangsaan Belgium, sebagai pengganti disambut dengan kehairanan dan rasa tidak puas hati ramai.

Menerusi satu tinjauan pendapat yang diterbitkan oleh akhbar tempatan Portugal, A Bola, 75 peratus penyokong membantah atau tidak bersetuju dengan pelantikan Martinez.

Rata-rata meluahkan rasa khuatir akan kegagalan Martinez memacu pasukan Belgium yang dianggotai oleh nama-nama besar seperti Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Romelu Lukaku dan Thibaut Courtois sewaktu zaman kemuncak mereka untuk menjulang walau satu trofi pun, bahkan sampai ke perlawanan akhir mana-mana kejohanan besar pun turut gagal dilakukan.

Tugas Martinez adalah untuk menghidupkan semula semangat pemain yang kecewa setelah tumbang di tangan Maghribi di peringkat suku akhir Piala Dunia 2022, malah turut dimalukan oleh Korea Selatan di peringkat kumpulan.

Kesungguhannya untuk menyesuaikan diri boleh dilihat menerusi kelas bahasa Portugis yang dihadirinya selama satu setengah jam setiap hari, serta permintaannya agar pemain hanya berkomunikasi dengannya dalam bahasa Portugis agar dia dapat melancarkan kefasihannya secepat mungkin.

Selepas lapan bulan Martinez mengambil alih pasukan, kini Portugal berdiri megah dengan mencatatkan 10 kemenangan berturut-turut dan hanya bolos dua kali – rekod yang lebih daripada cukup untuk membuktikan dirinya masih berkelayakan.

Pemain utama Portugal -- siapa lagi jika bukan Cristiano Ronaldo -- turut membuktikan dirinya masih relevan biarpun tidak lagi beraksi di kancah Eropah, dengan menjaringkan 10 gol pada usia yang sudah mencecah 38 tahun.

Ronaldo dilaporkan berang dengan pengurus lama, Santos, yang menggugurkannya daripada senarai kesebelasan utama setelah tewas di tangan Korea Selatan, dan kedua-duanya masih tidak bercakap dengan satu sama lain sehinggalah ke hari ini.

Bagaimanapun, situasinya berbeza dengan Martinez yang meletakkan kepercayaan penuh terhadap penyerang itu, dan ia dibalas dengan gol demi gol lalu membentuk hubungan yang semakin kukuh di antara pengurus dan pemain.

Martinez menggambarkan Ronaldo sebagai seseorang yang memiliki semangat persis pemain berusia 18 tahun biarpun usianya adalah 20 tahun lebih tua daripada angka itu.

Menjaringkan gol merupakan sesuatu yang paling digemari Ronaldo dan semangat untuk memperoleh kemenangan dalam tidak kira apa jua keadaan telah meresap ke dalam diri semua pemain lain.

Selain Ronaldo, kapten Manchester United, Bruno Fernandes, turut menyumbang bakti dengan menjaringkan enam gol dan melakukan tujuh bantuan jaringan -- rekod yang lebih memberangsangkan berbanding apa yang dicatatkannya bersama United sendiri.

Gol-gol lain disumbangkan oleh bintang-bintang dari pelbagai kelab besar, antaranya Bernardo Silva dari Manchester City dan Joao Felix dari Barcelona yang masing-masing mencatatkan tiga gol.



Di sebalik pencapaian dan rekod yang hebat ini, harus direnungkan bahawa Portugal hanya beraksi menentang negara-negara yang dianggap kerdil, misalnya Luxembourg dan Liechtenstein, dan tidak satu pun negara besar yang dihadapi semenjak tamatnya Piala Dunia 2022.

Sejauh mana Portugal mampu terus maju masih lagi satu tanda tanya, tetapi apa yang pasti adalah mereka bangkit dengan semangat yang membara dan merupakan pasukan yang cukup berbahaya.