Kapten Paris St Germain (PSG), Marquinhos menegaskan mereka tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mendapatkan slot di peringkat kalah mati bagi saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Kelab Ligue 1 itu akan berdepan pendahulu Kumpulan F, Borussia Dortmund di Jerman dengan kemenangan akan menjamin kemaraan mereka, manakala jika keputusan seri dan Newcastle pula gagal menjinakkan AC Milan sudah memadai untuk mereka mara sebagai naib juara.

Nasib mereka mungkin berbeza sekiranya mereka seri di Tyneside, lantas Marquinhos mahu pasukannya mengambil inisiatif itu sendiri.

"Jika saya fikir pasukan ini tidak mempunyai semangat untuk menang, saya rela duduk di rumah," katanya.

“Ini adalah satu perlawanan yang semua orang mahukan. Nasib di tangan kita sendiri.

“Ia satu-satunya trofi yang jadi idaman saya dan rakan-rakan. Kami tidak boleh membiarkan peluang untuk menjulang trofi itu menjadi sia-sia.”

PSG akan beraksi tanpa Ousmane Dembele yang digantung sementara kedudukan Goncalo Ramos yang dijangkiti selesema akan diputuskan pada saat akhir memandangkan dia tidak dapat turun berlatih di Signal Iduna Park.