Marcus Rashford mahu memastikan kekalahan 0-7 Manchester United kepada Liverpool bukanlah gambaran sebenar musim yang sedang mereka harungi sambil menyeru rakan sepasukannya agar mempercayai proses perkembangan mereka.

Seminggu selepas menamatkan penantian enam tahun mereka untuk menjulang trofi dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL), anak buah Erik ten Hag itu kemudian menjadi mangsa belasahan di Anfield.

Liverpool menghadiahkan kekalahan terbesar buat pelawat dan detik itu mengimbas kembali prestasi menyedihkan mereka musim lalu.



Sebelum perlawanan semalam, Rashford telah memainkan peranan penting dalam mengetuai kebangkitan United, lantas dia kini mahu memastikan kempen mereka tidak tergelincir.

"Saya harap kita boleh berikan saingan untuk mencuba dan memperbaiki keadaan," ciapnya di Twitter.

"Keputusannya sudah pun terhasil, kami tidak mampu mengubahnya!

"Kami tidak boleh biarkan ia menentukan musim kami.

"Kami perlu mempercayai proses ini dan terus bersatu."