MAN UTD 1 BRENTFORD 0

Marcus Rashford berharap Manchester United kembali mencipta rentak kemenangan selepas membenam Brentford, sebentar tadi.


Pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memastikan kemenangan di Old Trafford bagi menamatkan rentetan kemarau tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pergelutan The Red Devils dalam liga bermula selepas memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) apabila mengalami kekalahan memalukan 0-7 kepada Liverpool dan tewas di Newcastle United selain dua kali seri tanpa jaringan ketika menentang Southampton.

Skuad bimbingan Erik ten Hag itu melakar keputusan yang lebih baik dalam pertandingan piala apabila mara dalam Piala FA dan Liga Europa, tetapi mengalami kemelesetan prestasi dalam kancah EPL, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam memburu kedudukan empat teratas.

Selepas melepasi satu lagi rintangan, Rashford berhasrat membina momentum itu dan menamatkan musim ini dengan cemerlang.

“Kami berada dalam tempoh musim ini iaitu setiap perlawanan adalah penting dan setiap perlawanan menjadi getir jadi kami gembira untuk menang seta berharap dapat kembali ke kedudukan seperti beberapa minggu lalu,” katanya kepada BBC Sport.




"Apa yang penting ialah sentiasa memenangi perlawanan seterusnya. Semua orang jelas dapat menyaksikan bahawa kami tidak mampu mempamerkan aksi terbaik pada setiap minggu, tetapi kami tidak pernah berhenti daripada bekerja keras dan setiap minggu kami perlu terus mencuba untuk memberi dorongan sesama sendiri.

"Kami lebih bersabar dalam soal penguasaan bola; kami menunggu keadaan yang sesuai untuk mengasak daripada memberi tekanan kepada setiap bola.

"Kami tenang dan terus berkomunikasi untuk mencuba menyerang serta mematahkan hantaran kepada penyerang mereka."