Manchester City sahkan penghijrahan Vieira ke Nice
Penulis Jemputan
June 11, 2018 08:06 MYT
June 11, 2018 08:06 MYT
Manchester City mengumumkan bahawa legenda Arsenal dan Perancis, Patrick Vieira, kini sah meninggalkan New York City untuk bergelar pengurus pasukan Nice.
Vieira menuju ke saingan Ligue 1 untuk bersama Nice bagi menggantikan Lucien Favre yang berhijrah ke Borussia Dortmund.
Pengendali berusia 41 tahun itu mengurus New York City sejak 2016 selepas mengemudi skuad simpanan Manchester City susulan persaraan selaku pemain profesional.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada City Football Group dan New York City FC di atas peluang mengendalikan kelab yang hebat ini," kata Vieira dalam kenyataannya, semalam.
"Meninggalkan New York adalah satu keputusan yang besar buat saya dan keluarga. Ia bukan kata putus yang mudah.
"Sejak awal, City Football Group dan pihak atasannya seperti pengerusi, Khaldoon Al Mubarak, Brian Marwood, Ferran Soriano dan Marty Edelman telah memberikan kepercayaan dan tunjuk ajar kepada saya dalam tempoh lapan tahun terakhir karier, termasuk sewaktu bergelar pemain dan juga peluang mengurus pasukan."
Vieira akan membimbing Nice yang menamatkan saingan Ligue 1 pada musim lalu di tangga kelapan dan hanya dibezakan satu mata dengan slot ke saingan Eropah.
Turut menyertai Vieira ke Perancis adalah pembantu jurulatih, Christian Lattanzio, jurulatih kecergasan, Kristian Wilson, serta jurulatih kecergasan fizikal, Matt Cook.