Sepanjang dua musim lalu, Manchester City bersandarkan kepada rentetan panjang kemenangan sekitar bulan Oktober, November dan Disember untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, keadaannya tidak lagi sama atau memihak kepada mereka musim ini.

Datangnya tempoh rehat enam minggu sempena Piala Dunia Qatar dari 20 November-18 Disember tahun lalu sekadar menyulitkan keadaan, yang menyaksikan The Citizens tidak pun beraksi lebih baik sesudah itu.

Lantaran itu juga, mereka harus merelakan Arsenal terus selesa di tangga teratas tatkala musim hanya berbaki 10 perlawanan lagi.




City dikerah mengukir tiga kemenangan berturut-turut untuk mengelakkan jurang mata dengan Arsenal melebar dalam perlumbaan ke arah kejuaraan EPL, mengesahkan slot suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) serta mara ke empat terakhir dalam Piala FA.

Semua itu dicapai hasil 14 gol disumbat dan langsung tidak dibolosi – menyerlahkan mereka sedang mengharungi rentetan cemerlang ketika itu.

Dalam pada mereka mahu meneruskan usaha meningkatkan tekanan ke atas Arsenal di samping merapatkan jurang mata buat beberapa minggu mendatang, satu lagi tempoh rehat antarabangsa pula menyusul.

Perkara terakhir yang diperlukan City menuju ke garis penamat saingan ialah momentum mereka yang terencat.

Seperti disorot laman SB Nation, prestasi City musim ini sukar diramalkan – mereka mengalami beberapa kekalahan tidak dijangka atau tidak masuk akal, yang mungkin terlalu mahal harganya pada penghujung musim nanti.

Penyingkiran dalam suku akhir Piala Liga di tangan Southampton bermakna mereka sudah keciciran satu trofi.

Kebarangkalian untuk bersemuka dengan Manchester United dalam final Piala FA pastinya akan menuntut The Blues untuk berada dalam prestasi terbaik untuk memenanginya.

Namun, apa yang lebih mendesak ketika ini ialah keperluan untuk merapatkan diri dengan Arsenal – satu lagi rentetan panjang kemenangan ditagih andainya mahu memintas The Gunners yang agak konsisten prestasinya musim ini.




Kelab London kendalian Mikel Arteta itu melakar 13 kemenangan berturut-turut sehingga direncatkan oleh Everton pada awal bulan lalu.

Namun, mereka bingkas bangkit untuk meraih enam kemenangan berturut-turut menuju ke hujung minggu lalu.

City, dengan perancangan rapi Pep Guardiola, kini perlu mencari jalan untuk menyaingi atau memintas ketekalan Arsenal, namun sambil mereka memuncakkan saingan, satu lagi tempoh rehat antarabangsa kembali mengganggu.

Tidak sekadar itu, tempoh berkenaan menghadirkan pelbagai ancaman buat City.

Bukan hanya risiko pemainnya mengalami kecederaan ketika mewakili negara masing-masing, ia harus memerlukan masa untuk pemain-pemainnya mendapat rentak mereka semula apabila kembali berhimpun selepas dua minggu.

Ditambah dengan tuntutan terhadap Liga Juara-Juara, situasi yang bakal menyusul harus memberi kelebihan kepada Arsenal, dengan juara EPL sudah hampir tertulis nama kelab itu.