Manchester United meminjamkan pertahanan kiri, Alex Telles, yang bersetuju ke Sevilla pada musim ini.

Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai United daripada Porto pada 2020 dan walaupun dia setakat beraksi dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim pertamanya, dia dianggap sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan prestasi Luke Shaw.

Shaw menikmati musim terbaik dalam kariernya pada kempen 2020-21 selain turut mengagumkan dalam EURO 2020 ketika England mara ke final dan pertahanan kiri itu turut berkemampuan meledak jaringan.



Bagaimanapun, prestasi produk remaja Southampton itu merosot dengan ketara musim lalu maka Telles mula diturunkan 18 kali dalam kesebelasan utama daripada 21 perlawanan EPL.

Walaupun diberikan peluang, prestasi Telles jarang dilihat meyakinkan terutama ketika mereka diasak.

Peluangnya makin sempit dengan kehadiran bintang muda Belanda, Tyrell Malacia, sebagai muka baru pertama yang dibeli Erik ten Hag pada awal bulan lalu selain prestasi pra-musimnya yang masih belum cukup memikat hati pengurus baru itu.