Malaysia hampir buat India berputih mata di Hyderabad

Ammar Hakim
November 18, 2024 23:57 MYT
Malaysia berjaya mengikat India seri 1-1 dalam aksi persahabatan yang berlangsung sebentar tadi.
India dan Malaysia merekodkan pertemuan kali ke-33 dalam perlawanan bola sepak antarabangsa di Stadium GMC Balayogi Gachibowli di Hyderabad.
Perlawanan persahabatan itu menambah satu lagi babak dalam persaingan bola sepak yang paling lama bertahan antara India dan Malaysia sejak pertembungan pertama pada tahun 1957.
Kedua-dua pasukan pertama kali bertemu dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur, di mana India meraih kemenangan 3-0.
Pertemuan terbaharu India-Malaysia adalah dalam separuh akhir Kejohanan Pestabola Merdeka 2023, di mana skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 4-2.
Dalam perlawanan yang berlangsung malam ini, Malaysia berjaya mendahului seawal minit ke-19 apabila kegagalan barisan pertahanan dan penjaga gol tuan rumah gagal mengawal hantaran jauh Malaysia sebelum kesilapan itu digunakan sebaik mungkin Paulo Josue membuka jaringan.
Kegagalan skuad negara untuk menambah bilangan jaringan membenarkan India mengikat kedudukan, hantaran sepakan sudut pemain India berjaya disambar Rahul Bheke untuk menewaskan penjaga gol pasukan negara, Syihan Hazmi Mohamed.
Rangkuman separuh masa kedua menyaksikan kawalan permainan memihak Malaysia, dengan gerakan lebih jelas untuk mendapatkan jaringan.
Safawi Rasid berjaya melakukan sepakan gunting namun tersasar sebelum tandukan Fergus Tierney terkena tiang gol.
Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat tempoh permainan 90 minit menyaksikan Malaysia berjaya mengikat India dengan keputusan 1-1.
#bola sepak #India #Malaysia
;