ASTON VILLA 1 SOUTHAMPTON 0

Southampton tidak kesal terus mengetepikan Ainsley Maitland-Niles walaupun terpaksa membayar harga mahal tewas 0-1 Aston Villa, awal pagi tadi.


Situasi itu mengundang pengurus Soton, Ralph Hasenhuttl, menegur tonggak pinjaman semusim daripada Arsenal tersebut agar segera memperkemaskan permainannya seandainya mahu terpilih dalam perancangannya.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu membuat penampilan sulung ketika mereka tewas tipis 0-1 kepada Wolves awal bulan ini ketika masuk sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua.

Dan dia sekali lagi memanaskan bangku simpanan ketika jaringan Jacob Ramsey memastikan gol kemenangan buat pasukan kendalian Steven Gerrard itu menuju rehat.

"Kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan bersama Ainsley kerana dia perlu menyesuaikan diri dengan permainan kami dan ini adalah sesuatu yang memerlukan sedikit masa,’ katanya selepas perlawanan.





“Pada minggu ini Kami juga menilai apa yang kami telah minta dia lakukan terutama di posisi tengah, ia memerlukan sedikit masa untuk memahami bagaimana kami mahu melakukannya.

"Adalah tidak masuk akal untuk menurunkan seseorang yang tidak bersedia untuk melaksanakan strategi kami. Apabila dia sudah bersedia dan di tahap yang kami fikir dia diperlukan, dia pasti akan membantu kami."

Hasenhuttl sebelum ini menjelaskan bahawa dia masih tidak berpuas hati dengan sumbangan Maitland-Niles ketika bertahan dalam latihan.

"Saya fikir dia pemain yang sangat bagus dalam bola tetapi dia perlu belajar bahawa permainan kami bermula apabila tiada bola."

"Saya fikir ini adalah sesuatu yang dia tidak pernah dilakukannya di kelab yang diwakilinya. Tetapi dalam bola sepak moden, ini adalah bahagian yang sangat penting, anda boleh melihat ia masih sesuatu yang dia perlu belajar, oleh itu kami melabur masa untuk menjadikannya lebih baik.

"Saya fikir untuk memberi impak besar pada masa depan, dia perlu menambah beberapa bahagian dalam permainannya yang belum pernah dialami setakat ini dan kami akan membantunya melakukannya.’