Akibat mengalami kecederaan yang panjang, pemain pertahanan, Luke Shaw, mengecam tindakan penyokong yang mempersoalkan kesetiaanya bersama juara Piala FA Inggeris, Manchester United.

Ketika di bawah kendalian jurulatih dari Portugal, Jose Mourinho, Shaw tidak dapat diturunkan setelah mengalami kecederaan serius.

Skrip sama berulang apabila pertahanan kiri itu sekadar membuat 15 penampilan dalam semua kejohanan dan tidak bermain sejak Februari lalu.

Kendatipun begitu, pemain berusia 28 tahun itu masih menerima panggilan kebangsaan bagi kejohanan Euro 2024 yang akan berlangsung Jun ini.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, pemain kebangsaan England itu meluahkan perasaanya bahawa tiada apa ingin dilakukan selain bermain dan memenangi kejuaraan bersama Manchester United.

"Saya jarang memberikan reaksi terhadap apa yang berlaku di media sosial namun saya juga tidak mengendahkan segala kritikan yang diterima.

"Tetapi kecaman itu menganggu fikiran saya secara peribadi kerana penyokong secara tiba-tiba mempersoalkan kesetiaan saya bersama The Red Devils.

"Secara realitinya, kecergasan saya tidak berada pada tahap yang baik tetapi saya sedang berusaha untuk kembali ke padang. Saya berada di kelab terhebat ini selama 10 tahun dan saya sedikit kecewa dengan sikap penyokong yang mempersoalkan kesetiaan saya," katanya.