Lukaku bakal terlepas aksi menentang Bosnia-Herzegovina
Penulis Jemputan
October 4, 2017 07:21 MYT
October 4, 2017 07:21 MYT
Pemain antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku, disahkan tidak cergas sepenuhnya dan hampir pasti telepas peluang untuk beraksi menentang Bosnia-Herzegovina dalam kelayakan Piala Dunia, Ahad ini.
Bagaimanapun, jurulatihnya, Roberto Martinez, berharap penyerang Manchester United itu akan pulih sebelum menentang Cyprus pada Rabu depan.
Dia mendapat keputusan positif daripada ujian pada kecederaan buku lalinya minggu ini tetapi masih belum dapat menyertai latihan penuh bersama skuad.
Belgium sudah yakin akan menjuarai Kumpulan H, bermakna mereka tidak perlu meletakkan risiko dengan mempertaruhkan Lukaku, dengan Martinez boleh merehatkannya dalam aksi menentang Bosnia-Herzegovina.
Bagaimanapun, Lukaku -- yang sudah mengumpul 11 gol di peringkat kelab musim ini --- dijangka menyertai skuad untuk menentang Cyprus di gelanggang sendiri.
"Pada masa ini, Lukaku berlatih berasingan," kata Martinez kepada wartawan.
"Dia belum menyertai pasukan sejak tiba. Kami perlu bersabar sedikit.
"Saya akan mengatakan dia tidak pasti dapat beraksi Ahad ini. Kami akan membuat keputusan pada Sabtu tetapi ia agak sukar untuk dia menyertai perlawanan itu.
"Tetapi kami masih berharap dia akan terlibat pada Rabu (menentang Cyprus)."
Lukaku, bagaimanapun, tidak berputus asa berjuang mencari kecergasaan untuk beraksi di Sarajevo.
Tambah Martinez: "Dia mahu bermain, dia mengalami sedikit kesakitan di buku lali. Adalah penting untuk dia pulih sepenuhnya kerana ini adalah musim yang sibuk."
Lukaku menjadi kunci kepada Belgium untuk melayakkan diri ke Russia tahun depan selepas menjaringkan 10 gol dalam tujuh penampilan.
Sementara itu, pemain Portugal, Cristiano Ronaldo telah menjaringkan 14 gol dan penyerang Poland, Robert Lewandowski, mengumpul 12 gol dalam kempen kelayakan UEFA.