Sebelum itu, maaf kerana coretan kali ini sedikit menyimpang daripada cerita sukan.

Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kampung terpencil yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu ini.

Kerap kali saya mendapat pertanyaan “Alice, kenapa jarang balik kampung”? Mungkin ada diantara anda yang mengetahui bagaimana perjalanan yang perlu ditempuhi untuk sampai ke Long Pasia, mungkin juga ada yang tidak ingin ambil tahu.




Untuk pengetahuan, perjalanan balik ke Long Pasia mengambil masa yang agak lama iaitu 2-3 jam dari Kota Kinabalu ke Pekan Sipitang dan 4-5 jam dari Pekan Sipitang ke Long Pasia.

Namun, ia juga bergantung kepada keadaan cuaca. Ini kerana laluan yang diharungi ialah “gravel” dan hanya kenderaan 4x4 sahaja yang akan digunakan.

Antara kesukaran dan cabaran yang kerap dihadapi ialah ketika musim tengkujuh. Saya pernah bedepan dengan situasi air pasang dan perlu menunggu 2 jam untuk paras sungai kembali surut.

Selain daripada keadaan jalanraya, kampung saya juga tidak memiliki bekalan air bersih dan elektrik. Percaya atau tidak, kami masih lagi menggunakan tenaga solar dan “generator”.





Tetapi, saya tetap bersyukur dengan segala kekurangan ini. Walaupun berjauhan dari keluarga dan jarang pulang ke kampung saya masih tetap boleh berkomunikasi dengan mereka walaupun kerap mengalami rangkaian komunikasi dan internet yang selalu terputus.





Tetapi sebenarnya kampung saya tidaklah seteruk yang difikirkan kerana masih ada aktiviti yang masih boleh dilakukan terutamanya kepada anda yang meminati aktiviti “hiking, camping dan jungle trekking”. Kerana Long Pasia turut dikenali dengan destinasi pelancongan .

Namun, di sebalik kekurangan yang dihadapi. Saya masih berbangga dengan kampung Long Pasia yang melahirkan beberapa ahli sukan seperti Harun Laban yang merupakan sebahagian penyerang yang dilahirkan oleh skuad Sang Badak. Ronny Harun, Mafry Balang dan bekas atlet angkat berat negara, Loro Wellkinson Peuji.






Disember telah tiba dan ia merupakan bulan kegemaran kerana saya akan pulang ke kampung untuk meraikan Hari Natal bersama keluarga tercinta.

Dan saya mengakhiri coretan saya untuk tahun 2023 ini dengan ucapan “Happy holiday! May everything you wish for and more come true before the year ends.”