Jurgen Klopp mencabar Liverpool agar mencontohi Marcus Rashford yang kembali ke puncak prestasi.

Barisan anak buahnya sekadar menang sekali daripada enam perlawanan terakhir dan jaringan kemenangan Kaoru Mitoma buat Brighton & Hove Albion dalam masa kecederaan, hujung minggu lalu, menamatkan harapan The Reds untuk mempertahankan Piala FA.

Selain tersingkir daripada Piala Liga Inggeris (EFL) dan dipisahkan 21 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, untuk menghuni tangga kesembilan, Liverpool gagal mengulangi prestasi memberangsangkan sepanjang kendalian Klopp berada di kelab itu.

Mereka menjulang EPL dan Liga Juara-Juara (UCL) di bawah pengurus Jerman itu selain pernah muncul naib juara sebanyak empat kali.

Kemerosotan prestasi kelab Merseyside itu bertentangan dengan nasib Manchester United yang sedang menikmati kempen pertama yang mantap di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag.

The Red Devils kini menguasai kedudukan keempat liga dan satu-satunya pasukan yang masih berjuang dalam empat kejuaraan.



Rashford kembali dengan prestasi mengagumkan selepas hanya menyumbat empat gol liga musim lalu sebelum meledak 18 gol dalam 31 penampilan musim ini.

Sebelum diuji Wolves malam ini, Klopp percaya kebangkitan Rashford boleh dijadikan tauladan buat Liverpool dalam usaha mereka untuk kembali ke landasan kemenangan dengan berkata: "Salah satu contoh terbaik ialah Marcus Rashford, berdasarkan pencapaiannya tahun lalu dan tahun ini.



"Saya pasti dia tidak mampu menjelaskannya sendiri. Bukannya Marcus tidak mahu menyerlah tahun lalu. Sekarang dia sedang berada di puncak prestasi.

"Dalam dua tempoh buruk, kami perlu gunakan, berusaha dan berjuang menghadapinya. Rasa kasihan terhadap diri tidak adalah dibenarkan pada saat-saat ini.

"Hanya kami yang mampu mengubahnya dan ia adalah mengenai diri sendiri. Perkara ini boleh berlaku dan akan berlaku, tapi kami berdepan kekangan masa."