Jurgen Klopp berasakan Liverpool perlu kembali ke perkara asas selepas tewas 0-3 kepada Brighton and Hove Albion hujung minggu lalu.

Jaringan berganda Solly March selain satu gol daripada Danny Welbeck menyaksikan Liverpool tewas buat kali keenam dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, di mana Klopp mengakui ia satu situasi yang amat membimbangkan.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool kini tergelincir ke pertengahan liga di tangga kesembilan dan dibezakan 10 mata berbanding empat pasukan teratas -- walaupun mereka menamatkan musim lalu dengan hanya kekurangan satu mata di belakang pasukan juara, Manchester City.

Prestasi bahagian pertahanannya di Stadium Amex jelas menambahkan kebimbangan itu, di mana Brighton memegang 61.9 peratus penguasaan dan melakukan 16 percubaan ke gawang Alisson.

Klopp sedar Liverpool perlu memperbaiki prestasi mereka menjelang perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA menentang Wolves di Stadium Molineux awal pagi esok selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan pertama di Anfield pada 7 Januari lalu.

"Ini adalah masalah dalam bola sepak dan anda menyelesaikannya dengan bola sepak.

"Untuk bermain bola sepak dengan lebih baik berbanding yang kami lakukan ketika menentang Brighton sepatutnya tidak akan sukar.

"Anda sentiasa akan kembali ke perkara asas. Daripada itu, anda akan memulakan langkah. Kesemua kejayaan dalam bola sepak bermula dengan pertahanan yang jitu dan itulah yang perlu kami lakukan sekali lagi.

"Kami memiliki banyak perkara untuk dipertimbangkan, kami mempunyai dua penyerang senior untuk diturunkan.

"Kami perlu mencari penyelesaiannya, kerana itulah yang kami lakukan setiap hari," katanya.