Dua pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Arsenal, sekadar seri tanpa jaringan dalam pertemuan di Stadium Etihad awal pagi tadi, sekali gus membenarkan Liverpool menjadi pendahulu liga sepanjang minggu ini.

Selepas The Reds bimbingan Jurgen Klopp bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brighton 2-1 di Anfield malam tadi, aksi di Stadium Etihad sebagai pertemuan terakhir melibatkan tiga pasukan berkenaan menjadi tumpuan hebat.

Bagaimanapun, pertembungan blokbuster itu berlangsung hambar dan tidak seperti yang digembar-gemburkan, di mana Pep Guardiola dan bekas pembantunya, Mikel Arteta, terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0 -- kali pertama selepas 76 perlawanan pasukan juara treble musim lalu, City, berdepan keputusan seri tanpa jaringan.

Dengan keputusan itu, Liverpool kini mendahului carta EPL dengan 67 mata selepas 29 perlawanan, disusuli Arsenal dengan 65 mata dan City dengan 64 mata.