MAN CITY 4 LIVERPOOL 1

Manchester City terus menghambat kedudukan Arsenal selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Liverpool di Stadium Etihad, sebentar tadi.


Juara bertahan itu turun tanpa Erling Haaland yang masih dibelenggu kecederaan tetapi gol daripada Julian Alvarez, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Jack Grealish menyaksikan mereka menyempurnakan kebangkitan selepas jaringan pembukaan awal daripada Mohamed Salah.

Ia menjadi tamparan terbaru buat Liverpool yang kini menetapkan misi meraih kelompok empat teratas dengan anak buah Jurgen Klopp itu kekal lima mata di belakang Newcastle United yang menguasai di tempat kelima selain tujuh di belakang Tottenham dalam perebutan tiket terakhir Liga Juara-Juara (UCL).




Liverpool mendahului pada minit ke-17 selepas hantaran jauh Trent Alexander-Arnold menemui Diogo Jota yang meluru dan melepasi Manuel Akanji sebelum meninggalkan bola untuk dirembat Salah.

Gol pelawat itu hanya bertahan 10 minit apabila gerakan kemas City disudahkan Alvarez.

Ia mengambil masa kurang seminit sejurus permainan babak kedua bersambung untuk City mula mencengkam permainan apabila hantaran jauh Riyad Mahrez memastikan percubaan De Bruyne menerjah jaring.



Gol ketiga menyusul dengan tolakan sempurna Gundogan dari jarak dekat selepas Alvarez mencipta ruang buatnya, manakala Grealish menambah gol keempat melalui hantaran satu-dua yang kemas dengan De Bruyne untuk melengkapkan persembahan bertenaga mereka itu.