Musim lalu, Liverpool berada dalam pemburuan untuk empat gelaran sehingga minggu terakhir pertandingan.

Namun, ketentuan nasib menetapkan mereka berkesudahan dengan hanya dua piala domestik tapi terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Manchester City pada hari terakhir musim dan kemudian tewas kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

Daripada mengharapkan untuk bangkit, sebarang harapan The Reds untuk menjulang sebarang piala musim ini sebaliknya sudah pun berakhir seawal 15 Mac lalu.

Menerima giliran untuk dijadikan bahan persenda, skuad kendalian Jurgen Klopp itu dikerah membiasakan diri di tangga keenam, dengan hanya perbezaan jaringan menempatkan mereka sedikit di atas Brighton.

Seperti dirumuskan BBC Sport, Liverpool sedang merenung kemungkinan terlepas pesawat ke saingan UCL buat julung-julung kalinya sejak musim penuh pertama Klopp di kerusi panas pengurusnya pada 2016-17.





Sama ada disukainya atau tidak, Klopp sudah mengakui Liverpool berdepan tugas menggunung untuk kembali ke saingan UCL selepas ditunjukkan pintu keluar oleh Real Madrid yang menang 1-0 di Santiago Bernabeu awal Khamis lalu untuk agregat selesa 6-2 dalam pusingan 16 terakhir.

Rata-rata kekecewaan terbaru itu, ditambah dengan keadaan berhempas-pulas dalam EPL, melontarkan persoalan bahawa ia mungkin petanda berpenghujungnya satu era buat kelab Merseyside itu.

Trio serangan yang membawa mereka ke tiga perlawanan akhir UCL dalam lima tahun sudah pun berpecah -- Sadio Mane menyertai Bayern Munich musim panas lalu dan akan disusuli Roberto Firmino yang akan angkat kaki penghujung musim ini. Tinggallah Mohamed Salah bersendirian.






Kapten Jordan Henderson akan menginjak ke usia 33 tahun sambil tonggak veteran, James Milner, akan menjangkau 37 tahun.

Sudah ada jari-jemari yang tertuding kepada Klopp yang terlalu bersandarkan kepada pemain berkenaan, berbanding menjual segelintir untuk membawa masuk tenaga baru dalam tempoh itu.

Lantaran itu, bukan menghairankan Liverpool kerap menyerlahkan prestasi mendatar hingga membawa kepada rentetan tidak konsisten daripada segi tahap prestasi dan keputusan diraih.

Namun, harus diakui jua yang ia amat penting untuk Liverpool menempatkan diri dalam kelompok empat teratas sebagai matlamat jangka pendeknya daripada musim yang berbaki.

Pada penghujungnya nanti, ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat setinggi mana Liverpool mampu berganjak dari kedudukan mereka kini, lebih-lebih lagi pada musim panas nanti.

“Kami kembali daripada tempoh rehat antarabangsa untuk mengharungi tiga perlawanan besar berdepan Manchester City, Chelsea dan Arsenal.

“Perlawanan-perlawanan inilah yang akan mengukur bagaimana kami dapat keluar daripada kemelut yang dilalui.

“Tugas kami ialah untuk mengerah sehabis daya kami daripada baki saingan musim ini. Tidak perlu diperjelaskan yang kami mengidamkan kelompok empat teratas,” kata Klopp.

Ia juga akan mendefinisikan sama ada kitaran gemilang The Reds sudah berakhir atau tidak.