Jurgen Klopp mengakui Liverpool tuah menyebelahi mereka di bahagian pusat pertahanan setakat ini sambil membayangkan dia tidak mungkin menambah muka baru sebelum tarikh akhir perpindahan.

Ibrahima Konate diragui untuk bertandang ke Newcastle, tengah malam ini, kerana masalah otot sementara Joe Gomez mahupun Joel Matip turut boleh digandingkan bersama Virgil Van Dijk di pertahanan tengah The Reds.

Nat Phillips merupakan satu lagi alternatif tetapi Klopp sedar bahawa pilihan terhad dan beberapa kecederaan boleh menimbulkan masalah yang menyaksikan dia perlu menjadi kreatif dengan barisan belakangnya dalam musim 2020-2021.

Sebanyak 20 kombinasi berbeza digunakan dalam kempen bergelora itu tetapi Klopp memastikan segala-galanya tidak perlu berdepan krisis pada bulan-bulan akan datang.

“Dalam dunia yang ideal, kami memerlukan enam, tujuh, lapan pertahanan tengah yang meliputi segala-galanya,” kata pengurus itu.




“Tidak, kami perlu bernasib baik dengan kecederaan, tidak ada keraguan tentang itu.

“Saya tidak meragui tentang kualiti pemain yang kami ada. Kami mempunyai pemain akademi seperti Jarell Quansah yang sangat berbakat, dia juga sedia diturunkan.

“Pada masa ini kami dilindungi tetapi ia bukan satu alam mimpi untuk kami bersedia dalam setiap situasi. Kami beberapa kali terpaksa belajar daripada pengalaman lalu.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mempunyai skuad mantap untuk minggu depan, skuad untuk kami boleh bertindak balas terhadap hampir semua perkara."